Monday, October 26, 2009

Nilai Kesempurnaan Dan Pengorbanan Dalam Agama

Rasulullah saw pernah ditanya oleh Jibrail a.s. mengenai Iman, Islam dan Ihsan. Lantas baginda menjawab dengan maksud:
‘Iman adalah percaya kepada Allah, para malaikatNya, kitab-kitabNya, para rasul, Hari Kiamat dan ketentuan Qada’ dan Qadar… Islam pula adalah bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah utusan Allah, mendirikan solat, berpuasa di bulan Ramadhan, membayar Zakat dan menunaikan Haji ke Mekah jika berkemampuan… Ihsan adalah beribadah kepada Allah dengan menghayati seolah-olah kita berhadapan denganNya. Hayatilah bahawa jika kamu tidak melihatnya, sesungguhnya Dia sentiasa melihat kamu…’ (Hadis riwayat Muslim)
Dalam menjalani kehidupan sebagai seorang Islam, kita umpama berada dalam perjalanan melalui peringkat-peringkat hidup yang semakin mendekatkan diri kepada Allah swt. Bermula dengan keImanan sebagai pegangan yang terletak di hati, kita terus membuktikannya dengan lidah serta segenap perlakuan. Sebagai tanda keImanan, kita membuktikan bagaimana pengorbanan hidup ditunjukkan dengan menyempurnakan kandungan rukun Islam.
Kemuncak keImanan dan Islam adalah ibadah Haji yang ditunaikan setelah kita benar-benar berkemampuan pada pelbagai aspek. Rukun Islam pertama hingga keempat menguji kita tentang kesanggupan serta kemampuan untuk bersedia menunaikan rukun Islam kelima iaitu Haji. Melalui kalimah syahadah, kita telah mengorbankan segenap roh dan jiwa kita untuk mengakui keesaan Allah swt serta mempercayai utusanNya sepenuh hati. Melalui solat, kita mengorbankan masa dan kesanggupan kita untuk membuktikan pengakuan terhadap keTuhananNya. Pada beberapa bulan lalu, sebagaimana yang kita tunaikan setiap tahun, kita telah mengorbankan nikmat makan minum dan nafsu buat seketika semata-mata demi memenuhi tuntutanNya. Harta benda kita juga telah diuji untuk dibelanjakan sebahagiannya sebagai menunaikan ibadah zakat.
Haji adalah saat-saat terindah di tanah suci. Tanah tempat Rasulullah menyampaikan wahyu Ilahi. Cinta dan kesanggupan untuk berkorban hidup fana ini telah menjadi dorongan untuk umat Islam dari seluruh pelusuk dunia menjadi tetamu Allah. Kalimah Talbiah dilaungkan dengan maksud: ‘Ku sahut panggilan Mu ya Allah. Tiada bersekutu Engkau. Puji, nikmat dan syukur adalah milik Mu, tiada bersekutu Engkau. Ku sahut panggilan Mu.’
Dengan lafaz itu, maka bermulalah sebuah pengembaraan ritual penuh makna yang disertai dengan penyerahan diri zahir dan batin. Segalanya dikorbankan hanya kerana Allah swt. Harta kekayaan, keluarga tersayang, urusan pekerjaan, bahkan nyawa diri sendiri pasrah menghadap Allah swt di tanah suci. Dijelaskan sebagai tanda ketaatan dan kesyukuran atas nikmat Allah.
Bersempena dengan musim Haji ini, kita diingatkan mengenai detik-detik akhir Rasulullah saw menyampaikan wahyu terakhir al-Quran. Peristiwa ini berlaku pada 25 Zulkaedah tahun kesepuluh Hijrah bersama-sama tidak kurang daripada 90,000 orang yang bersedia penuh keImanan, kegembiraan dan keikhlasan untuk menjejakkan kaki di tanah suci. Mereka ingin menunaikan kewajipan ibadah Haji besar bersama-sama junjungan kita Muhammad saw.
Saat-saat kemeriahan itu sangat menaikkan semangat apabila di suatu tempat bernama Dzulhalifa, mereka bermalam untuk memakai Ihram sebagai tanda kesederhanaan diri dan mengertikan suatu persamaan taraf dalam maksud yang sangat jelas. Lafaz Talbiah dilaungkan beramai-ramai bersahut-sahutan bergema menyusuri jalan di antara Madinah dan Kota Mekah.
Itulah peristiwa Haji Perpisahan atau Hujjatul Wida’ yang penuh dengan kenangan detik-detik terakhir Rasulullah menyampaikan wahyu al-Quran. Ini adalah kali terakhir Rasulullah mengunjungi Mekah dan Kaabah. Pada waktu itu Tuhan menyempurnakan agama Islam kepada umat manusia dan mencukupkan nikmat-nikmatNya.
Pada hari itu jugalah Rasulullah menyampaikan pesanan-pesanan penting kepada umatnya. Baginda menyampaikan beberapa pesan yang memperingatkan kepada kita berkaitan kesempurnaan agama. Di antara pesan-pesan baginda adalah:
‘…Sesiapa telah diamanahkan, maka tunaikanlah amanah itu kepada yang berhak menerimanya…’
‘… ingatlah kata-kata ku ini. Aku sudah menyampaikannya. Sesuatu yang sudah jelas ku tinggalkan pada kamu, yang jika kamu berpegang teguh padanya, kamu tidak akan sesat selama-lamanya. Ianya adalah Kitab Allah (al-Quran) dan Sunnah Rasulullah (Hadis).’
‘… dengarkanlah kata-kata ku ini dan beri perhatian! Kamu akan mengerti, bahawa setiap muslim adalah saudara muslim yang lain. Dan kaum muslim itu bersaudara. Tetapi seseorang tidak dibenarkan (mengambil hak) saudaranya, kecuali dengan pemberian yang senang hati. Janganlah kamu menganiaya diri sendiri…’
Setelah selesai berpesan, Rasulullah menyampaikan wahyu terakhir daripada al-Quran iaitu firman Allah swt dalam surah al-Maidah ayat 3 yang bermaksud: ‘…hari inilah ku sempurnakan agama mu ini untuk kamu sekalian, dengan Ku cukupkan nikmat Ku kepada kamu, dan yang Ku redhai Islam inilah menjadi agama kamu.’
Bersempena dengan musim Haji ini, saudara-saudara Islam kita di tanah suci sedang menjalani ibadah sepenuhnya kepada Allah swt. Kita yang masih menunggu seruan Allah swt untuk ke tanah suci tidak ketinggalan untuk mengambil pengajaran serta manfaat melalui kisah-kisah sejarah dan menghayati sambutan Hari Raya Korban.
Haji memberikan kita bayangan mengenai sebuah komuniti ideal umat Islam. Dalam tradisi beragama, kedamaian dan kerukunan menjadi tema utama bagi setiap perjalanan ritual seperti ibadah Haji. Al-Quran terus membicarakan tentang kemestian setiap makhluk untuk kembali kepada Tuhan. Haji adalah praktikal di peringkat kehidupan sebagai suatu azam serta perjalanan sukarela kembali kepada Tuhan.
Justeru, adalah baik untuk kita memahami serba sedikit tentang falsafah di sebalik ibadah Haji. Sebagai kaum Muslim, kita menjalani ibadah Haji dengan mangalami rasa kembali ke identiti Iman, Islam dan Ihsan sebenar. Mengingati perjuangan dakwah Rasulullah saw juga akan menusuk ke jiwa raga kita dengan melawat ke tempat-tempat yang pernah baginda lalui. Walaupun di sebaliknya Rasulullah menunaikan Haji kerana mengenang peristiwa nabi Ibrahim dan Ismail as., iaitu bapa kepada Iman yang sejati.
Ketika berlari mengulangi Shafa dan Marwah sebanyak tujuh kali, kita teringat bagaimana Saidatina Siti Hajar berlari-lari dengan cemas mencari air bagi nabi Ismail yang masih kecil.
Seterusnya di lereng Gunung Arafah adalah tempat asal usul manusia dengan mengenang perjanjian awal Tuhan dengan nabi pertama dan bapa seluruh ras manusia, Nabi Adam alaihissalam.
Di Mina pula, kita akan melemparkan batu di tiga batang tiang Jamrah sebagai ingatan atas perjuangan terus menerus yang diperlukan untuk melakukan jihad demi mengabdikan diri kepada Tuhan.
Seterusnya ibadah Korban dengan menyembelih kambing, lembu atau unta dijalankan sebagai kenangan atas pengorbanan haiwan oleh nabi Ibrahim as setelah beliau pasrah menyerahkan anaknya sendiri kepada Tuhan.
Maka kita pula di Malaysia, bahkan di seluruh dunia yang belum berkesempatan menerima seruan untuk ke tanah suci, melakukan ibadah korban di seluruh pelusuk tanahair sendiri. Pada waktu yang ditentukan seluruh umat Islam menunjukkan kesediaan untuk mengorbankan apa sahaja.
Pengorbanan ini kita simbolkan dengan pengorbanan harta, masa, tenaga, pangkat kedudukan dan sebagainya melalui ibadah yang diamalkan pada Hari Raya Aidiladha.
Pada hari itu, kita berkorban wang ringgit untuk bersedekah haiwan korban kerana Allah. Juga mengorbankan tenaga untuk bergotong royong menguruskan pengagihan daging korban. Pada hari itu juga kita mengenepikan soal pangkat kedudukan, hidup bermasyarakat dalam keharmonian semangat bekerjasama, gurau mesra dalam ibadah persaudaraan, dan melibatkan anak-anak kecil serta muda untuk mengambil bahagian dalam masyarakat.
Semoga sempena Hari Raya Korban ini, kita dapat bersama-sama mengambil pengajaran kisah di sebalik sejarah keImanan para nabi dan melibatkan diri dengan nikmat hidup bermasyarakat.

No comments:

Post a Comment