Friday, July 17, 2009

Kekuatan akidah mengatasi hubungan darah


Cerita Nabi Nuh a.s telah mengingatkan bahawa anak daripada orang salih tidak semestinya akan menjadi salih seperti ibu bapanya. Nabi Muhammad s.a.w juga pernah mengingatkan anaknya yang bernama Fatimah bahawa jika dia mencuri, Rasulullah akan memotong tangannya. Kesalihan seperti mana juga kemuliaan seseorang, memang tidak boleh diperoleh melalui keturunan semata-mata tetapi ia perlu dicapai dengan adanya usaha individu itu sendiri, serta pilihan dan kehendak Allah s.w.t.

Kisah Nabi Nuh dan keingkaran anaknya yang bernama Kana’an serta isterinya untuk beriman kepada Allah s.w.t menyebabkan mereka akhirnya ditenggelamkan oleh banjir besar. Betapa kecintaannya terhadap anaknya ketika Kana’an sedang berjuang menyelamatkan diri, Nabi Nuh tidak putus-putus mengajak anaknya naik ke atas kapal bersama-samanya, namun anaknya tidak menghiraukan seruan itu. Allah s.w.t telah menurunkan banjir yang besar dan telah menenggelamkan semua umat Nabi Nuh yang tidak beriman kecuali 70 orang pengikutnya yang setia.

Cinta orang tua kepada anak melebihi cinta anak kepada orang tua. Bacalah kisah Nabi Nuh a.s yang merupakan salah seorang dari lima nabi yang paling utama. Betapa pun anaknya derhaka kepada Allah dan membangkang orang tuanya, cintanya tidak luntur. Sampai detik-detik terakhir, baginda masih mengajak anak kandungnya untuk menumpang kapalnya di tengah-tengah pukulan gelombang yang laksana gunung.

Perhatikan pula rahsia perikemanusiaan, rahsia cinta ayah yang telah tua kepada anak kandungnya, penyambung keturunannya. Meskipun Tuhan telah berkali-kali memperingatkan, meskipun Tuhan telah melarang memohon perlindungan Tuhan bagi orang-orang yang aniaya, kerana orang-orang itu pasti tenggelam dan meskipun Tuhan telah menjelaskan bahawa di antara ahli keluarga Nabi Nuh ada yang telah ditentukan terlebih dahulu bahawa mereka tidak akan dapat masuk, namun Nabi Nuh sebagai ayah tidak juga sampai hati melihat anaknya akan binasa. Sebab itu, maka diajaknya naik semasa ada kesempatan, sebelum air bertambah naik dan ombak bertambah besar.

Setelah anaknya tenggelam, ketika air bah surut dan Nabi Nuh a.s bersama kaum yang beriman selamat sampai ke darat, cinta ayah belum juga putus. Ini antara lain terbukti daripada maklumat di dalam al-Quran (lihat surah Hud, ayat 45-46).

Nabi Nuh a.s menerima jawapan daripada Allah yang menjelaskan hakikat yang telah dilupai baginda iaitu hubungan `kekeluargaan’ di sisi Allah juga dalam agama Allah dan neraca pertimbangan-Nya bukanlah hubungan kekerabatan darah, malah ialah hubungan kekerabatan akidah. Berdasarkan hakikat ini, anak Nabi Nuh yang terkorban di dalam banjir itu bukanlah seorang yang beriman dan kerana itu dia tidak termasuk dalam golongan keluarganya, kerana baginda adalah seorang yang beriman.

Itulah hakikat agung dalam agama ini, iaitu hakikat hubungan akidah yang menjadi asas segala hubungan yang lain. Itulah tali hubungan yang mengikatkan individu mukmin di antara satu sama lain. Itulah satu hubungan istimewa yang tidak dapat dilaksanakan oleh hubungan keturunan dan hubungan kekerabatan.

Luqman Hakim seorang yang yang salih menyedari akan tanggungjawabnya. Nasihat beliau kepada anaknya telah dijadikan teladan kepada ibu bapa yang baik dan bijak. al-Quran merakamkan nasihat beliau kepada anaknya:

“Wahai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah. Sesungguhnya syirik itu perbuatan zalim yang besar, katanya.” (maksud surah Luqman, ayat 13) “Hai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah (orang lain) mengerjakan yang baik, dan cegahlah (mereka) daripada perbuatan mungkar, dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu.” (maksud surah Luqman, ayat 17)

Pengajaran daripada ayat ini ialah pesan-pesan tauhid itu harus sentiasa tertanam dalam jiwa dan kesedaran anak-anak kita. Kehadiran seseorang anak dalam kehidupan kedua-dua ibu bapa adalah sesuatu yang amat berat, satu fitnah, satu ujian daripada Allah untuk menguji sejauh mana tahap kesabaran, kadar keimanan dan tanggungjawab kita untuk membawanya ke jalan yang diredai Allah. Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah, suci, kata Nabi s.a.w.

Al-Quran menceritakan tentang kesalihan dan rasa kesedaran daripada tanggungjawab Luqman Hakim sebagai bapa yang baik dalam mendidik anak. Dalam komunikasi yang penuh kasih sayang, beliau berpesan kepada anaknya agar jangan mempersekutukan Allah, dirikanlah solat, berbuat baik dan banyak bersabar. Sesungguhnya solat itu satu-satunya bekal dan nilai-nilai amar maaruf nahi mungkar yang amat relevan bagi anak-anak yang akan menghadapi zaman globalisasi yang serba pantas dan mencabar.

Demikianlah juga dengan Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Yaakub a.s yang sempat memberikan wasiat kepada anak-anaknya sepertimana firman Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah, ayat 132.

Anak adalah milik Tuhan dan mesti dipersembahkan sepenuhnya untuk (jalan) Allah. Kita sekadar diberi amanah memelihara dan memberi ilmu. Ketika Allah memerintahnya agar menyembelih anaknya Ismail yang sangat disayanginya, Nabi Ibrahim dengan rela hati melaksanakan perintah tersebut.

Demikianlah kesalihan dan kemuliaan ibu bapa tidak dapat menyelamatkan anak-anak daripada pembalasan Allah s.w.t. Hanya keimanan dan ketakwaan seseorang yang dapat menyelamatkan mereka daripada balasan Allah s.w.t.

Pembudayaan ilmu



Sesungguhnya Nabi Muhammad s.a.w telah membawa kepada kita satu sahaja agama, iaitu Islam. Namun hakikatnya, hari ini kita didedahkan dengan ‘beratus-ratus agama Islam’. Keadaan ini berlaku kerana umat Islam tidak menghayati ilmu Islam secara sempurna dan betul.

Manusia menurut al-Quran memiliki potensi untuk meraih ilmu dan mengembangkannya dengan izin Allah.

Agenda ilmu dan pembudayaannya adalah perkara besar yang wajar diberi tumpuan oleh umat Islam. Kerana dengan ilmu ini sahaja syarat utama bagi membolehkan manusia menjadi khalifah serta memikul amanahnya.

Dalam dunia pendidikan Islam kita biasa mendengar istilah adab al-dunya dan adab al-din. Yang pertama melahirkan ‘taskhir’ (teknologi) yang membawa kepada kesenangan hidup duniawi, sedangkan yang kedua menghasilkan ‘tazkiyah’ (penyucian jiwa) dan ‘maghrifah’ yang membawa kepada kebahagiaan ukhrawi. Dan kedua-dua ini harus terpadu sebagaimana dicerminkan menerusi doa yang diajarkan oleh al-Quran.

Kalau kita lihat kejayaan pembinaan tamadun dan peradaban Islam silam, jelas bahawa kekuatan ilmu memainkan peranan penting. Tercatat dalam buku sejarah akan kewujudan kota-kota besar sebagai pusat pengembangan ilmu dunia seperti Baghdad, Kufah, Basra, Damsyik, Seville, dan Cardova.

Di kota-kota ini juga lahir tokoh-tokoh ilmuwan yang tersohor dalam pelbagai bidang, bukan sahaja mahir dalam bidang agama tetapi sains, falsafah, astronomi, matematik, dan ilmu kedoktoran.

Kita sering mendengar nama, misalnya seperti Al-Khawarizmi, tokoh matematik, dan Jabir bin Hayan, tokoh ilmu kedoktoran. Malah ribuan lagi tokoh dalam pelbagai bidang lahir pada waktu itu kerana ‘ilmu’ yang dijadikan asas pendekatan pembinaan ummah.

Ini bertepatan dengan apa yang difirmankan Allah s.w.t yang bermaksud: “Dan demikian Kami jadikan kamu umat pilihan lagi adil untuk menjadi teladan dan saksi kepada manusia lain.” (al-Baqarah: 143)

Dan apa kita fahami daripada maksud firman Allah ini ialah sesungguhnya dengan membiarkan umat Islam mundur dan ketinggalan adalah bertentangan sama sekali dengan ajaran Islam.

Kejayaan tamadun dahulu adalah praktik daripada ajaran yang penuh perseimbangan antara dunia dan akhirat.

Rasulullah s.a.w dalam sebuah hadis telah memberi kebebasan yang sepenuhnya kepada umat baginda dalam urusan kehidupan dunia.

Sabda baginda yang bermaksud: “Kamu lebih tahu urusan kehidupan dunia kamu.” (Riwayat Muslim)

Maksudnya, kebebasan yang diberi kepada umatnya untuk bergerak, berfikir, merancang dan melakukan tindakan asalkan tidak melanggar batas-batas keadilan.

Dalam era dunia tanpa sempadan ini, ilmu adalah kuasa. Membudayakan ilmu di kalangan umat Islam bererti membudayakan kuasa. Bangsa yang berjiwa besar adalah bangsa yang menghargai ilmu. Inilah yang ditekan oleh pucuk kepimpinan negara kita dalam perjuangan untuk memartabatkan bangsa kita agar dihormati dan disegani oleh bangsa lain dunia.

Maruah dan kewibawaan bangsa terletak pada kekayaan ilmu anak bangsa. Khazanah intelek bangsa dalam serba bidang inilah yang merangsang kemajuan, pembangunan dan dinamisme bangsa untuk mencapai kegemilangan.

Kita harus faham bahawa dalam mengendalikan sebuah negara tidaklah sama atau semudah semangat yang dikobarkan dengan kata-kata, slogan dan retorik semata-mata.

Orang lain tidak akan menghormati kita sekiranya kita miskin ilmu, percaya kepada tahayul, hidup merempat di negara sendiri, dan mengemis simpati dan bantuan orang lain.

Dengan ilmu, keyakinan diri menjadi teguh dan bersemangat untuk menghadapi cabaran. Melalui ilmu kita hari ini berjaya membina tamaddun kita sendiri dan menikmatinya penuh keamanan dan kesejahteraan.

Kemajuan yang kita capai inilah yang harus dipelihara dan dikembangkan serta dipertangungjawabkan.

Umat Islam sepatutnya berubah seperti firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Sesungguhnya allah tidak mengubah keadaaan suatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.” (ar-Raad: 11)

Yang menyedihkan, apa yang berlaku sekarang, umat Islam masih menjadi umat yang miskin, umat yang meminta-minta dan umat yang meminta-minta dan umat yang sering merendahkan kebolehan mereka sendiri.

Dalam mengharungi dan memakmurkan duniawi ini, jika seseorang itu hanya mempunyai iman dengan keyakinan yang kukuh sedangkan ilmunya tidak berkembang, maka ia akan hidup sebagai orang yang tidak mampu berbuat sesuatu, maka jadilah ia manusia jumud, sempit akal, bahkan sempit dada, kurang toleransi terhadap pemikiran orang lain, sehingga besar kemungkinan ia akan berwatak merasa benar sendiri (self righteous).

Boleh jadi pula ia akan mampu hidup hanya sebaga parasit masyarakat disebabkan oleh kekurangan kemampuannya menghasilkan sesuatu untuk kepentingan hidupnya. Keyakinan yang kukuh itu bersifat dogmatik, sehingga jika berhadapan dengan hujah-hujah yang ilmiah ia akan mudah tersinggung, over sensitive dan tidak dapat diajak berbicara atau berbincang secara terbuka.

Oleh hal yang demikian itu, amatlah perlu diperjuangkan oleh setiap orang agar iman dan ilmunya berinteraksi secara seimbang (in dynamic equilibrium), sehingga ia mempunyai peribadi yang mantap ke depan. Jadi, keseimbangan antara iman dan ilmu ini mestilah dimiliki setiap orang yang betul-betul ingin hidup berbahagia di dunia ini.

Apabila kedua-dua nikmat ini dimiliki oleh seseorang secara seimbang dan dinamik, maka jadilah ia manusia yang mampu memadukan kedua-duanya menjadi ‘Al-Hikmah’. Orang inilah yang dikatakan oleh al-Quran sebagai manusia ‘Al-Hakim’ dan inilah orang yang telah mendapat angerah terbesar daripada Allah s.w.t.

Manusia diciptakan Allah s.w.t. Justeru untuk memakmurkan dunia ini demi kepentingan manusia sendiri. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Dia telah menjadikan kamu daripada bumi agar kamu memakmurkannya…” (Hud: 61)

Ayat ini tegas menyatakan bahawa tujuan penciptaan manusia di muka bumi ini ialah agar manusia memakmurkan kehidupan ini.

Kemakmuran ini tiada lain demi kepentingan manusia sendiri. Sedang ayat berikut ini menegaskan lagi, bahawa Allah s.w.t menciptakan segala sesuatu di alam ini untuk memenuhi kepentingan manusia, kerana perkataan ‘sakhara’ itu bererti memenuhi atau memudahkan atau untuk diperalat atau diperhambakan.

Oleh hal demikian itu, manusia diharamkan Allah merendahkan diri terhadap alam raya ini, sebab dengan demikian itu manusia telah memperlekehkan rencana dan ketentuan Allah yang telah memuliakan dan melebihkan manusia terhadap semua makhluk-Nya yang lain.


kehidupan umpama air hujan

“Sesungguhnya bandingan kehidupan dunia hanyalah seperti air hujan yang Kami turunkan dari langit, lalu (tumbuhlah dengan suburnya) tanaman-tanaman di bumi dari jenis-jenis yang dimakan oleh manusia dan binatang - bercampur-aduk dan berpaut-pautan (pokok-pokok dan pohonnya) dengan sebab air itu hingga apabila bumi itu lengkap sempurna dengan keindahannya dan berhias (dengan bunga-bungaan yang berwarna-warni), dan penduduknya pun menyangka bahawa mereka dapat berbagai-bagai tanaman serta menguasainya (mengambil hasilnya) datanglah perintah Kami menimpakannya dengan bencana pada waktu malam atau pada siang hari lalu Kami jadikan ia hancur lebur, seolah-olah ia tidak ada sebelum itu. Demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi kaum yang mahu berfikir (dan mengambil iktibar daripadanya).” (SURAH YUNUS: 24)