Friday, December 18, 2009

Pulang Kembali Ke Kolej

sekarang sudah habis cuti..welcome back everybody..hope all of u sihat walafiat kehendaknya. bila dah masuk kolej banyak benda yang nak buat. ambil result exam lepas tu kena photostet untuk diserahkan kepada PTPTN itu bagi sesiapa yang ambil PTPTN la. daftar subjek ambil tandatangan lecturer end then hantar kad bahagian akademik. tak lupe jugak mesti kemas rumsis dan bilik of sure kotor dan penuh dgn habuk dan banyak lagi yang mesti dilakukan. walaupun meletihkan sikit tapi itulah keseronokkan menjadi pelajar kolej. Alhamdulillah bagi kita yang dapat merasainya dan dapat menjadi pelajar kolej berbanding bagi mereka yang teringin tapi tidak kesampaian dan tidak berkemampuan. keletihan dan kepenatan itu sekali seumur hidup bagi diri kita. rugi kalau kita mensia-siakannya. tinggal dua hari je lagi sebelu balik ke kolej semula. harap-harap semuanya berjalan dengan lancar kehendaknya.

Monday, October 26, 2009

Nilai Kesempurnaan Dan Pengorbanan Dalam Agama

Rasulullah saw pernah ditanya oleh Jibrail a.s. mengenai Iman, Islam dan Ihsan. Lantas baginda menjawab dengan maksud:
‘Iman adalah percaya kepada Allah, para malaikatNya, kitab-kitabNya, para rasul, Hari Kiamat dan ketentuan Qada’ dan Qadar… Islam pula adalah bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah utusan Allah, mendirikan solat, berpuasa di bulan Ramadhan, membayar Zakat dan menunaikan Haji ke Mekah jika berkemampuan… Ihsan adalah beribadah kepada Allah dengan menghayati seolah-olah kita berhadapan denganNya. Hayatilah bahawa jika kamu tidak melihatnya, sesungguhnya Dia sentiasa melihat kamu…’ (Hadis riwayat Muslim)
Dalam menjalani kehidupan sebagai seorang Islam, kita umpama berada dalam perjalanan melalui peringkat-peringkat hidup yang semakin mendekatkan diri kepada Allah swt. Bermula dengan keImanan sebagai pegangan yang terletak di hati, kita terus membuktikannya dengan lidah serta segenap perlakuan. Sebagai tanda keImanan, kita membuktikan bagaimana pengorbanan hidup ditunjukkan dengan menyempurnakan kandungan rukun Islam.
Kemuncak keImanan dan Islam adalah ibadah Haji yang ditunaikan setelah kita benar-benar berkemampuan pada pelbagai aspek. Rukun Islam pertama hingga keempat menguji kita tentang kesanggupan serta kemampuan untuk bersedia menunaikan rukun Islam kelima iaitu Haji. Melalui kalimah syahadah, kita telah mengorbankan segenap roh dan jiwa kita untuk mengakui keesaan Allah swt serta mempercayai utusanNya sepenuh hati. Melalui solat, kita mengorbankan masa dan kesanggupan kita untuk membuktikan pengakuan terhadap keTuhananNya. Pada beberapa bulan lalu, sebagaimana yang kita tunaikan setiap tahun, kita telah mengorbankan nikmat makan minum dan nafsu buat seketika semata-mata demi memenuhi tuntutanNya. Harta benda kita juga telah diuji untuk dibelanjakan sebahagiannya sebagai menunaikan ibadah zakat.
Haji adalah saat-saat terindah di tanah suci. Tanah tempat Rasulullah menyampaikan wahyu Ilahi. Cinta dan kesanggupan untuk berkorban hidup fana ini telah menjadi dorongan untuk umat Islam dari seluruh pelusuk dunia menjadi tetamu Allah. Kalimah Talbiah dilaungkan dengan maksud: ‘Ku sahut panggilan Mu ya Allah. Tiada bersekutu Engkau. Puji, nikmat dan syukur adalah milik Mu, tiada bersekutu Engkau. Ku sahut panggilan Mu.’
Dengan lafaz itu, maka bermulalah sebuah pengembaraan ritual penuh makna yang disertai dengan penyerahan diri zahir dan batin. Segalanya dikorbankan hanya kerana Allah swt. Harta kekayaan, keluarga tersayang, urusan pekerjaan, bahkan nyawa diri sendiri pasrah menghadap Allah swt di tanah suci. Dijelaskan sebagai tanda ketaatan dan kesyukuran atas nikmat Allah.
Bersempena dengan musim Haji ini, kita diingatkan mengenai detik-detik akhir Rasulullah saw menyampaikan wahyu terakhir al-Quran. Peristiwa ini berlaku pada 25 Zulkaedah tahun kesepuluh Hijrah bersama-sama tidak kurang daripada 90,000 orang yang bersedia penuh keImanan, kegembiraan dan keikhlasan untuk menjejakkan kaki di tanah suci. Mereka ingin menunaikan kewajipan ibadah Haji besar bersama-sama junjungan kita Muhammad saw.
Saat-saat kemeriahan itu sangat menaikkan semangat apabila di suatu tempat bernama Dzulhalifa, mereka bermalam untuk memakai Ihram sebagai tanda kesederhanaan diri dan mengertikan suatu persamaan taraf dalam maksud yang sangat jelas. Lafaz Talbiah dilaungkan beramai-ramai bersahut-sahutan bergema menyusuri jalan di antara Madinah dan Kota Mekah.
Itulah peristiwa Haji Perpisahan atau Hujjatul Wida’ yang penuh dengan kenangan detik-detik terakhir Rasulullah menyampaikan wahyu al-Quran. Ini adalah kali terakhir Rasulullah mengunjungi Mekah dan Kaabah. Pada waktu itu Tuhan menyempurnakan agama Islam kepada umat manusia dan mencukupkan nikmat-nikmatNya.
Pada hari itu jugalah Rasulullah menyampaikan pesanan-pesanan penting kepada umatnya. Baginda menyampaikan beberapa pesan yang memperingatkan kepada kita berkaitan kesempurnaan agama. Di antara pesan-pesan baginda adalah:
‘…Sesiapa telah diamanahkan, maka tunaikanlah amanah itu kepada yang berhak menerimanya…’
‘… ingatlah kata-kata ku ini. Aku sudah menyampaikannya. Sesuatu yang sudah jelas ku tinggalkan pada kamu, yang jika kamu berpegang teguh padanya, kamu tidak akan sesat selama-lamanya. Ianya adalah Kitab Allah (al-Quran) dan Sunnah Rasulullah (Hadis).’
‘… dengarkanlah kata-kata ku ini dan beri perhatian! Kamu akan mengerti, bahawa setiap muslim adalah saudara muslim yang lain. Dan kaum muslim itu bersaudara. Tetapi seseorang tidak dibenarkan (mengambil hak) saudaranya, kecuali dengan pemberian yang senang hati. Janganlah kamu menganiaya diri sendiri…’
Setelah selesai berpesan, Rasulullah menyampaikan wahyu terakhir daripada al-Quran iaitu firman Allah swt dalam surah al-Maidah ayat 3 yang bermaksud: ‘…hari inilah ku sempurnakan agama mu ini untuk kamu sekalian, dengan Ku cukupkan nikmat Ku kepada kamu, dan yang Ku redhai Islam inilah menjadi agama kamu.’
Bersempena dengan musim Haji ini, saudara-saudara Islam kita di tanah suci sedang menjalani ibadah sepenuhnya kepada Allah swt. Kita yang masih menunggu seruan Allah swt untuk ke tanah suci tidak ketinggalan untuk mengambil pengajaran serta manfaat melalui kisah-kisah sejarah dan menghayati sambutan Hari Raya Korban.
Haji memberikan kita bayangan mengenai sebuah komuniti ideal umat Islam. Dalam tradisi beragama, kedamaian dan kerukunan menjadi tema utama bagi setiap perjalanan ritual seperti ibadah Haji. Al-Quran terus membicarakan tentang kemestian setiap makhluk untuk kembali kepada Tuhan. Haji adalah praktikal di peringkat kehidupan sebagai suatu azam serta perjalanan sukarela kembali kepada Tuhan.
Justeru, adalah baik untuk kita memahami serba sedikit tentang falsafah di sebalik ibadah Haji. Sebagai kaum Muslim, kita menjalani ibadah Haji dengan mangalami rasa kembali ke identiti Iman, Islam dan Ihsan sebenar. Mengingati perjuangan dakwah Rasulullah saw juga akan menusuk ke jiwa raga kita dengan melawat ke tempat-tempat yang pernah baginda lalui. Walaupun di sebaliknya Rasulullah menunaikan Haji kerana mengenang peristiwa nabi Ibrahim dan Ismail as., iaitu bapa kepada Iman yang sejati.
Ketika berlari mengulangi Shafa dan Marwah sebanyak tujuh kali, kita teringat bagaimana Saidatina Siti Hajar berlari-lari dengan cemas mencari air bagi nabi Ismail yang masih kecil.
Seterusnya di lereng Gunung Arafah adalah tempat asal usul manusia dengan mengenang perjanjian awal Tuhan dengan nabi pertama dan bapa seluruh ras manusia, Nabi Adam alaihissalam.
Di Mina pula, kita akan melemparkan batu di tiga batang tiang Jamrah sebagai ingatan atas perjuangan terus menerus yang diperlukan untuk melakukan jihad demi mengabdikan diri kepada Tuhan.
Seterusnya ibadah Korban dengan menyembelih kambing, lembu atau unta dijalankan sebagai kenangan atas pengorbanan haiwan oleh nabi Ibrahim as setelah beliau pasrah menyerahkan anaknya sendiri kepada Tuhan.
Maka kita pula di Malaysia, bahkan di seluruh dunia yang belum berkesempatan menerima seruan untuk ke tanah suci, melakukan ibadah korban di seluruh pelusuk tanahair sendiri. Pada waktu yang ditentukan seluruh umat Islam menunjukkan kesediaan untuk mengorbankan apa sahaja.
Pengorbanan ini kita simbolkan dengan pengorbanan harta, masa, tenaga, pangkat kedudukan dan sebagainya melalui ibadah yang diamalkan pada Hari Raya Aidiladha.
Pada hari itu, kita berkorban wang ringgit untuk bersedekah haiwan korban kerana Allah. Juga mengorbankan tenaga untuk bergotong royong menguruskan pengagihan daging korban. Pada hari itu juga kita mengenepikan soal pangkat kedudukan, hidup bermasyarakat dalam keharmonian semangat bekerjasama, gurau mesra dalam ibadah persaudaraan, dan melibatkan anak-anak kecil serta muda untuk mengambil bahagian dalam masyarakat.
Semoga sempena Hari Raya Korban ini, kita dapat bersama-sama mengambil pengajaran kisah di sebalik sejarah keImanan para nabi dan melibatkan diri dengan nikmat hidup bermasyarakat.

Pengorbanan Satu Tuntutan Dalam Islam

Assalamualaikum w.b.t kepada kalian. Selawat dan salam sentiasa dititipkan buat Junjungan Besar S.A.W atas segala penat lelah baginda demi umatnya. Sama-samala kita mensyukuri dan menghayati pengorbanan Baginda S.A.W lantas kita pantulkan kembali kepada diri kita agar mengekori langkah itu walau tidak semua akan tetapi perlulah menjadi pandua kita dalam menongkah kancah kehidupan yang semakin mencabar lagi bergelora. Segalanya memerlukan pengorbanan. Bukan sekadar kita menghayati pengorbanan dalam sesebuah peristiwa lebih-lebih lagi pengorbanan yang dilalui par anbia' terdahulu dalam menyeru umat mereka kepada Tauhid dan kembali ke jalan yang sebenar-benarnya akan tetapi sewajarnya kita berusaha kearah itu kerana kita di pilih oleh Allah untuk meneruskan perjuangan yang beronak liku itu disertai dengan keikhlasan, pengorbanan yang jitu. Semoga Nukilan yang tidak seberapa ini mampu membangkitkan semangat kita kembali untuk bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu Allah walau di mana jua kita berada untuk kita kembali kepada masyarakat kita kelak dalam keadan yang benar-benar bersedia dengan izinNya. Salam Imtihan. Semoga imtihan kali ini menjadikan kita lebih ihtimam untuk menguji tahap pemahaman kita terhadap sesuatu ilmu setakat yang telah dipelajari. Doakan agar kejayaan milik kita bersama.

Friday, July 17, 2009

Kekuatan akidah mengatasi hubungan darah


Cerita Nabi Nuh a.s telah mengingatkan bahawa anak daripada orang salih tidak semestinya akan menjadi salih seperti ibu bapanya. Nabi Muhammad s.a.w juga pernah mengingatkan anaknya yang bernama Fatimah bahawa jika dia mencuri, Rasulullah akan memotong tangannya. Kesalihan seperti mana juga kemuliaan seseorang, memang tidak boleh diperoleh melalui keturunan semata-mata tetapi ia perlu dicapai dengan adanya usaha individu itu sendiri, serta pilihan dan kehendak Allah s.w.t.

Kisah Nabi Nuh dan keingkaran anaknya yang bernama Kana’an serta isterinya untuk beriman kepada Allah s.w.t menyebabkan mereka akhirnya ditenggelamkan oleh banjir besar. Betapa kecintaannya terhadap anaknya ketika Kana’an sedang berjuang menyelamatkan diri, Nabi Nuh tidak putus-putus mengajak anaknya naik ke atas kapal bersama-samanya, namun anaknya tidak menghiraukan seruan itu. Allah s.w.t telah menurunkan banjir yang besar dan telah menenggelamkan semua umat Nabi Nuh yang tidak beriman kecuali 70 orang pengikutnya yang setia.

Cinta orang tua kepada anak melebihi cinta anak kepada orang tua. Bacalah kisah Nabi Nuh a.s yang merupakan salah seorang dari lima nabi yang paling utama. Betapa pun anaknya derhaka kepada Allah dan membangkang orang tuanya, cintanya tidak luntur. Sampai detik-detik terakhir, baginda masih mengajak anak kandungnya untuk menumpang kapalnya di tengah-tengah pukulan gelombang yang laksana gunung.

Perhatikan pula rahsia perikemanusiaan, rahsia cinta ayah yang telah tua kepada anak kandungnya, penyambung keturunannya. Meskipun Tuhan telah berkali-kali memperingatkan, meskipun Tuhan telah melarang memohon perlindungan Tuhan bagi orang-orang yang aniaya, kerana orang-orang itu pasti tenggelam dan meskipun Tuhan telah menjelaskan bahawa di antara ahli keluarga Nabi Nuh ada yang telah ditentukan terlebih dahulu bahawa mereka tidak akan dapat masuk, namun Nabi Nuh sebagai ayah tidak juga sampai hati melihat anaknya akan binasa. Sebab itu, maka diajaknya naik semasa ada kesempatan, sebelum air bertambah naik dan ombak bertambah besar.

Setelah anaknya tenggelam, ketika air bah surut dan Nabi Nuh a.s bersama kaum yang beriman selamat sampai ke darat, cinta ayah belum juga putus. Ini antara lain terbukti daripada maklumat di dalam al-Quran (lihat surah Hud, ayat 45-46).

Nabi Nuh a.s menerima jawapan daripada Allah yang menjelaskan hakikat yang telah dilupai baginda iaitu hubungan `kekeluargaan’ di sisi Allah juga dalam agama Allah dan neraca pertimbangan-Nya bukanlah hubungan kekerabatan darah, malah ialah hubungan kekerabatan akidah. Berdasarkan hakikat ini, anak Nabi Nuh yang terkorban di dalam banjir itu bukanlah seorang yang beriman dan kerana itu dia tidak termasuk dalam golongan keluarganya, kerana baginda adalah seorang yang beriman.

Itulah hakikat agung dalam agama ini, iaitu hakikat hubungan akidah yang menjadi asas segala hubungan yang lain. Itulah tali hubungan yang mengikatkan individu mukmin di antara satu sama lain. Itulah satu hubungan istimewa yang tidak dapat dilaksanakan oleh hubungan keturunan dan hubungan kekerabatan.

Luqman Hakim seorang yang yang salih menyedari akan tanggungjawabnya. Nasihat beliau kepada anaknya telah dijadikan teladan kepada ibu bapa yang baik dan bijak. al-Quran merakamkan nasihat beliau kepada anaknya:

“Wahai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah. Sesungguhnya syirik itu perbuatan zalim yang besar, katanya.” (maksud surah Luqman, ayat 13) “Hai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah (orang lain) mengerjakan yang baik, dan cegahlah (mereka) daripada perbuatan mungkar, dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu.” (maksud surah Luqman, ayat 17)

Pengajaran daripada ayat ini ialah pesan-pesan tauhid itu harus sentiasa tertanam dalam jiwa dan kesedaran anak-anak kita. Kehadiran seseorang anak dalam kehidupan kedua-dua ibu bapa adalah sesuatu yang amat berat, satu fitnah, satu ujian daripada Allah untuk menguji sejauh mana tahap kesabaran, kadar keimanan dan tanggungjawab kita untuk membawanya ke jalan yang diredai Allah. Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah, suci, kata Nabi s.a.w.

Al-Quran menceritakan tentang kesalihan dan rasa kesedaran daripada tanggungjawab Luqman Hakim sebagai bapa yang baik dalam mendidik anak. Dalam komunikasi yang penuh kasih sayang, beliau berpesan kepada anaknya agar jangan mempersekutukan Allah, dirikanlah solat, berbuat baik dan banyak bersabar. Sesungguhnya solat itu satu-satunya bekal dan nilai-nilai amar maaruf nahi mungkar yang amat relevan bagi anak-anak yang akan menghadapi zaman globalisasi yang serba pantas dan mencabar.

Demikianlah juga dengan Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Yaakub a.s yang sempat memberikan wasiat kepada anak-anaknya sepertimana firman Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah, ayat 132.

Anak adalah milik Tuhan dan mesti dipersembahkan sepenuhnya untuk (jalan) Allah. Kita sekadar diberi amanah memelihara dan memberi ilmu. Ketika Allah memerintahnya agar menyembelih anaknya Ismail yang sangat disayanginya, Nabi Ibrahim dengan rela hati melaksanakan perintah tersebut.

Demikianlah kesalihan dan kemuliaan ibu bapa tidak dapat menyelamatkan anak-anak daripada pembalasan Allah s.w.t. Hanya keimanan dan ketakwaan seseorang yang dapat menyelamatkan mereka daripada balasan Allah s.w.t.

Pembudayaan ilmu



Sesungguhnya Nabi Muhammad s.a.w telah membawa kepada kita satu sahaja agama, iaitu Islam. Namun hakikatnya, hari ini kita didedahkan dengan ‘beratus-ratus agama Islam’. Keadaan ini berlaku kerana umat Islam tidak menghayati ilmu Islam secara sempurna dan betul.

Manusia menurut al-Quran memiliki potensi untuk meraih ilmu dan mengembangkannya dengan izin Allah.

Agenda ilmu dan pembudayaannya adalah perkara besar yang wajar diberi tumpuan oleh umat Islam. Kerana dengan ilmu ini sahaja syarat utama bagi membolehkan manusia menjadi khalifah serta memikul amanahnya.

Dalam dunia pendidikan Islam kita biasa mendengar istilah adab al-dunya dan adab al-din. Yang pertama melahirkan ‘taskhir’ (teknologi) yang membawa kepada kesenangan hidup duniawi, sedangkan yang kedua menghasilkan ‘tazkiyah’ (penyucian jiwa) dan ‘maghrifah’ yang membawa kepada kebahagiaan ukhrawi. Dan kedua-dua ini harus terpadu sebagaimana dicerminkan menerusi doa yang diajarkan oleh al-Quran.

Kalau kita lihat kejayaan pembinaan tamadun dan peradaban Islam silam, jelas bahawa kekuatan ilmu memainkan peranan penting. Tercatat dalam buku sejarah akan kewujudan kota-kota besar sebagai pusat pengembangan ilmu dunia seperti Baghdad, Kufah, Basra, Damsyik, Seville, dan Cardova.

Di kota-kota ini juga lahir tokoh-tokoh ilmuwan yang tersohor dalam pelbagai bidang, bukan sahaja mahir dalam bidang agama tetapi sains, falsafah, astronomi, matematik, dan ilmu kedoktoran.

Kita sering mendengar nama, misalnya seperti Al-Khawarizmi, tokoh matematik, dan Jabir bin Hayan, tokoh ilmu kedoktoran. Malah ribuan lagi tokoh dalam pelbagai bidang lahir pada waktu itu kerana ‘ilmu’ yang dijadikan asas pendekatan pembinaan ummah.

Ini bertepatan dengan apa yang difirmankan Allah s.w.t yang bermaksud: “Dan demikian Kami jadikan kamu umat pilihan lagi adil untuk menjadi teladan dan saksi kepada manusia lain.” (al-Baqarah: 143)

Dan apa kita fahami daripada maksud firman Allah ini ialah sesungguhnya dengan membiarkan umat Islam mundur dan ketinggalan adalah bertentangan sama sekali dengan ajaran Islam.

Kejayaan tamadun dahulu adalah praktik daripada ajaran yang penuh perseimbangan antara dunia dan akhirat.

Rasulullah s.a.w dalam sebuah hadis telah memberi kebebasan yang sepenuhnya kepada umat baginda dalam urusan kehidupan dunia.

Sabda baginda yang bermaksud: “Kamu lebih tahu urusan kehidupan dunia kamu.” (Riwayat Muslim)

Maksudnya, kebebasan yang diberi kepada umatnya untuk bergerak, berfikir, merancang dan melakukan tindakan asalkan tidak melanggar batas-batas keadilan.

Dalam era dunia tanpa sempadan ini, ilmu adalah kuasa. Membudayakan ilmu di kalangan umat Islam bererti membudayakan kuasa. Bangsa yang berjiwa besar adalah bangsa yang menghargai ilmu. Inilah yang ditekan oleh pucuk kepimpinan negara kita dalam perjuangan untuk memartabatkan bangsa kita agar dihormati dan disegani oleh bangsa lain dunia.

Maruah dan kewibawaan bangsa terletak pada kekayaan ilmu anak bangsa. Khazanah intelek bangsa dalam serba bidang inilah yang merangsang kemajuan, pembangunan dan dinamisme bangsa untuk mencapai kegemilangan.

Kita harus faham bahawa dalam mengendalikan sebuah negara tidaklah sama atau semudah semangat yang dikobarkan dengan kata-kata, slogan dan retorik semata-mata.

Orang lain tidak akan menghormati kita sekiranya kita miskin ilmu, percaya kepada tahayul, hidup merempat di negara sendiri, dan mengemis simpati dan bantuan orang lain.

Dengan ilmu, keyakinan diri menjadi teguh dan bersemangat untuk menghadapi cabaran. Melalui ilmu kita hari ini berjaya membina tamaddun kita sendiri dan menikmatinya penuh keamanan dan kesejahteraan.

Kemajuan yang kita capai inilah yang harus dipelihara dan dikembangkan serta dipertangungjawabkan.

Umat Islam sepatutnya berubah seperti firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Sesungguhnya allah tidak mengubah keadaaan suatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.” (ar-Raad: 11)

Yang menyedihkan, apa yang berlaku sekarang, umat Islam masih menjadi umat yang miskin, umat yang meminta-minta dan umat yang meminta-minta dan umat yang sering merendahkan kebolehan mereka sendiri.

Dalam mengharungi dan memakmurkan duniawi ini, jika seseorang itu hanya mempunyai iman dengan keyakinan yang kukuh sedangkan ilmunya tidak berkembang, maka ia akan hidup sebagai orang yang tidak mampu berbuat sesuatu, maka jadilah ia manusia jumud, sempit akal, bahkan sempit dada, kurang toleransi terhadap pemikiran orang lain, sehingga besar kemungkinan ia akan berwatak merasa benar sendiri (self righteous).

Boleh jadi pula ia akan mampu hidup hanya sebaga parasit masyarakat disebabkan oleh kekurangan kemampuannya menghasilkan sesuatu untuk kepentingan hidupnya. Keyakinan yang kukuh itu bersifat dogmatik, sehingga jika berhadapan dengan hujah-hujah yang ilmiah ia akan mudah tersinggung, over sensitive dan tidak dapat diajak berbicara atau berbincang secara terbuka.

Oleh hal yang demikian itu, amatlah perlu diperjuangkan oleh setiap orang agar iman dan ilmunya berinteraksi secara seimbang (in dynamic equilibrium), sehingga ia mempunyai peribadi yang mantap ke depan. Jadi, keseimbangan antara iman dan ilmu ini mestilah dimiliki setiap orang yang betul-betul ingin hidup berbahagia di dunia ini.

Apabila kedua-dua nikmat ini dimiliki oleh seseorang secara seimbang dan dinamik, maka jadilah ia manusia yang mampu memadukan kedua-duanya menjadi ‘Al-Hikmah’. Orang inilah yang dikatakan oleh al-Quran sebagai manusia ‘Al-Hakim’ dan inilah orang yang telah mendapat angerah terbesar daripada Allah s.w.t.

Manusia diciptakan Allah s.w.t. Justeru untuk memakmurkan dunia ini demi kepentingan manusia sendiri. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Dia telah menjadikan kamu daripada bumi agar kamu memakmurkannya…” (Hud: 61)

Ayat ini tegas menyatakan bahawa tujuan penciptaan manusia di muka bumi ini ialah agar manusia memakmurkan kehidupan ini.

Kemakmuran ini tiada lain demi kepentingan manusia sendiri. Sedang ayat berikut ini menegaskan lagi, bahawa Allah s.w.t menciptakan segala sesuatu di alam ini untuk memenuhi kepentingan manusia, kerana perkataan ‘sakhara’ itu bererti memenuhi atau memudahkan atau untuk diperalat atau diperhambakan.

Oleh hal demikian itu, manusia diharamkan Allah merendahkan diri terhadap alam raya ini, sebab dengan demikian itu manusia telah memperlekehkan rencana dan ketentuan Allah yang telah memuliakan dan melebihkan manusia terhadap semua makhluk-Nya yang lain.


kehidupan umpama air hujan

“Sesungguhnya bandingan kehidupan dunia hanyalah seperti air hujan yang Kami turunkan dari langit, lalu (tumbuhlah dengan suburnya) tanaman-tanaman di bumi dari jenis-jenis yang dimakan oleh manusia dan binatang - bercampur-aduk dan berpaut-pautan (pokok-pokok dan pohonnya) dengan sebab air itu hingga apabila bumi itu lengkap sempurna dengan keindahannya dan berhias (dengan bunga-bungaan yang berwarna-warni), dan penduduknya pun menyangka bahawa mereka dapat berbagai-bagai tanaman serta menguasainya (mengambil hasilnya) datanglah perintah Kami menimpakannya dengan bencana pada waktu malam atau pada siang hari lalu Kami jadikan ia hancur lebur, seolah-olah ia tidak ada sebelum itu. Demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi kaum yang mahu berfikir (dan mengambil iktibar daripadanya).” (SURAH YUNUS: 24)

Thursday, April 16, 2009

Hantarkan Ku Sana

Gejolak yang membuncah memenuhi dada ini…
Bersama rasa yang rindu mendalam…
Dari hamba yang berlumur dosa dan kealpaan…
Berharap dapat bersua dengan-Mu…
Wahai Rabbul`alamiin…

Dengan taubat ku berharap…
Kuatkan jiwa ini mendatanginya…
Kuatkan langkah kaki ini menempuhnya…
Azamkan niat ini dalam mencapainya…
Ikhlaskan hati ini menjalaninya…

Aku rindu…aku rindu…aku rindu…
Rindu berjumpa dengan-Mu dalam SYAHADAH…
Rindu bersua dengan-Mu dalam IMAN…
Rindu bersama-Mu dalam TAUHID…
Rindu indahnya hidup dalam naungan ridha-Mu…
Syari`at ISLAM…Daulah ISLAM…Khilafah ISLAM

Duhai Allah yang tiada sekutu bagi-Mu…
Hantarkanlah kerinduanku ini…
Mudahkanlah…
Lapangkanlah…
Untuk raih cita-cita…
KEMULIAAN HIDUP DALAM ISLAM, ATAU
KESYAHIDAN DALAM PERJUANGAN

Aku berharap termasuk yang Kau hantarkan….
Redhai dan kabulkanlah…
Amien ya Allah, ya Rabbal`alamiin..

Munajat Imtihan


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

Surrah Al - Baqarah


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

Asyukrulaka Yaa Rasulullah

Wahai Rasulullah, wahai kekasih Allah
Sungguh mulia engkau, sungguh mulia engkau
Allah dan malaikat menselawatkanmu, Allah dan malaikat menselawatkanmu
Wahai orang mukmin selawatkanlah, wahai orang mukmin selawatkanlah

Terima kasih wahai Rasulullah , terima kasih wahai kekasih Allah
Ahli keluarga dan para sahabat

Kerana jasamu kami masuk Islam
Kerana jasamu kami sembahyang
Kerana jasamu kami beriman
Kerana jasamu kami sempurna agamanya

Engkau adalah Rasul pilihan
Rasul pilihan awal dan akhir
Engkau adalah penyelamat umat
Engkau membawa rahmat dan berkat

Terima kasih wahai Rasulullah, terima kasih wahai kekasih Allah
Ahli keluarga dan para sahabat

Kerana jasamu kami masuk Islam
Kerana jasamu kami sembahyang
Kerana jasamu kami beriman
Kerana jasamu kami sempurna agamanya

Ibadahmu membayangkan kehambaanmu
Akhlakmu membayangkan kebersihan hatimu
Sabarmu membayangkan ketahanan jiwamu

Terima kasih wahai Rasulullah, terima kasih wahai kekasih Allah
Ahli keluarga dan para sahabat

Kerana jasamu kami masuk Islam
Kerana jasamu kami sembahyang
Kerana jasamu kami beriman
Kerana jasamu kami sempurna agamanya

Keberanianmu membayangkan tawakalmu
Orang yang menentang engkau doakannya
Engkau adalah manusia luar biasa
Pemimpin yang dikehendaki adalah bayanganmu

Saturday, February 21, 2009

Azam Setinggi Langit


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

Keluarga Bahagia

Keluarga bahagia menjadi cita semua
bapa bertanggung jawab ibu pengasih
anak-anak taat setia mendengar kata
kerjasama bertolong bantu di dalam keluarga
Allah disembah
syariat peraturan keluarga
ada masalah sama-sama menyelesaikannya
Al-Quran, As-Sunnah tempat rujukan mereka
setelah dijumpa sama-sama mengikutnya
Selesailah masalah keluarga tanpa berpanjangan
kerana sama-sama taat dengan Tuhannya
ada masalah lagi diselesaikan juga
Al-quran dan As-Sunnah jugalah tempat rujuknya
Berkasih sayang rukun rumah tangga
kerana tuhan sangat ditakuti dan dicintai
takut dan cintakan Allah rahsia kebahagiaan
iman dan taqwa berkasih sayang kekuatan bersama
Tanpa iman dan taqwa kasih sayang tidak kan ada
wang dan hartalah punca porak poranda
carilah kekayaan bukan untuk dicintai
tapi untuk berkhidmat sesama manusia
biasanya perpecahan rumah tangga berlaku
kerana Allah sudah tidak diingati
masing-masing ikut akal dan nafsunya
syariat Allah diabaikan
keluarga mendamai pula hidup celaka
Selesai lah masalah keluarga tanpa berpanjangan
kerana sama-sama taat dengan Tuhannya
ada masalah lagi diselesaikan juga
Al-Quran dan As-Sunnah jugalah tempat rujuknya
Tanpa iman dan taqwa kasih sayang tidak akan ada
wang dan harta lah punca porak poranda
Carilah kekayaan bukan untuk dicintai
Tapi untuk berkhidmat sesama manusia

Ketenangan Untuk Muslim


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini